Monday, September 23, 2013

Musuh utama anak-anak muda zaman sekarang.

SHAH ALAM: Purata anak muda bekerjaya di negara ini memiliki tujuh kad kredit, angka yang menggambarkan tahap berbelanja generasi muda yang membimbangkan.

Malah Pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Muhammad Rapidi Mohd Darus mendedahkan pernah memberikan kaunseling kepada seorang  pekerja wanita bank tempatan yang memiliki 42 kad kredit!

“Ini bermaksud wanita itu memohon kad kredit daripada semua bank komersial yang beroperasi di negara ini,” kata beliau ketika membentangkan tajuk ‘Fenomena Muflis Dalam Golongan Muda di Malaysia’ pada Seminar Maqasid Syariah Kebangsaan anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) di Auditorium Karangkraf, dekat sini, petang semalam.

Menurut Rapidi, keadaan ini berlaku kerana permohonan kad kredit  tidak dikawal Bank Negara dan institusi perbankan komersial bersaing menawarkan perkhidmatan tersebut ekoran pulangan yang menarik.

Mengulas lanjut, beliau berkata dari 2010 hingga 2012 berlaku peningkatan 8 peratus jumlah individu yang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah iaitu 18,119 pada 2010 dan 19,575 (2012).

Daripada jumlah keseluruhan individu yang diisytiharkan muflis, 84 peratus diakibatkan kegagalan menjelaskan pinjaman termasuk kad kredit.

“Hutang sewa beli (kenderaan) dank ad kredit adalah paling tinggi di kalangan generasi muda,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ramai anak muda Melayu yang mengalami kebankrapan setelah dua atau tiga tahun bekerja.

Fenomena ini, ujarnya diakibatkan daripada sikap berbelanja boros dan tidak mengikut kemampuan.

Rapidi memberi contoh kecenderungan anak muda Melayu bekerjaya memakai kereta berjenama mewah walaupun baru memiliki pekerjaan.

“Dengan gaji yang tidak seberapa,  mereka dibebankan dengan bayaran semula pinjaman, minyak dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Kejahilan dalam memahami syarat-syarat perjanjian jual beli juga, jelas beliau mengakibatkan mereka menghadapi tindakan undang-undang oleh syarikat perbankan apabila menyorokkan kereta yang tidak mampu dijelaskan bayaran sedangkan kaedah yang betul adalah menyerahkan kereta itu  kepada pihak bank.

Statistik yang diperolehi AKPK sehingga Mei 2009, ujar Rapidi menunjukkan 50 peratus individu muflis ialah mereka yang berumur di bawah 30 tahun.

Pada 2005 sejumlah  49.39 peratus mereka yang diisytiharkan muflis berumur di bawah 30 tahun,  46.32 peratus (2006), 55.79 peratus (2007), 48.17 peratus (2008) dan 46.04 peratus (hingga Mei 2009).

Rapidi yang telah berkhidmat lebih enam tahun di AKPK menasihati ibu bapa supaya menanamkan sikap berjimat cermat dan belanja berhemah kepada anak-anak mereka.

AKPK, ujarnya sedia membantu individu yang bermasalah kewangan dengan mengatur pembayaran semula hutang kepada institusi kewangan berdasarkan kemampuan kewangan individu terbabit.

Pihak AKPK juga, jelasnya bersedia member khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi bebanan kewangan sedangkan sumber pendapatan tidak mencukupi.

................................

Wahh..
bukan main ramai lagi yang muflis di usia muda.
Bukan senang untuk menguruskan kewangan di usia muda.


2 comments:

  1. Assalamalaikum.... BIDADARI datang msehngat saya???

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..... singgah ziarah ( BIDADARI)

    ReplyDelete

Semoga komentar kalian memberi manfaat buat Aljauhary..