Saturday, December 17, 2011

Ucapan Pengarah Program Motivasi Insan Cemerlang II


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذى أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا, ويجعل على كل شيء سببا,
 والصلاة والسلام على من أرسله ربه للعالمين بشيرا ونزيرا بين يدي الحساب, وعلى آله وأحبابه والأصحاب...
وبعد...
. السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Yang dihormati,
Saudari pengerusi majlis, Ustazah .

Yang berbahagia,
Timbalan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa/Wi Mansurah Sesi 2011/2012,
Saudara  Muhammad Izzat Bin Abdul Hadi selaku perasmi program,

Yang berbahagia
Naib Pengerusi 1 Hewi DPMM,
Saudari Wan Liza bte Mohd Rethuan.

Yang berusaha,
Ketua unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM,
Ustaz Usman Al-Amani bin Azlan,
barisan AJKT dan AJKH DPMM,
barisan Ad-hoc pelaksana program.

Yang diraikan,
Sahabat sahabiah yang dirahmati Allah SWT.

. السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kehadrat ilahi kerana dengan taufiq, inayah dan nikmat kurniaanNYA dapat kita bertemu kembali dalam program motivasi insan cemerlang  siri kedua kesinambungan dari siri pertama yang lalu dan yang terakhir untuk semester ini. Dan pembawakkan kali ini akan menekankan konsep usaha dalam mengapai kejayaan bertemakan “ilmu diwarisi, ulama diteladani, ulama’ pewaris nabi”.

Firman Allah SWT dalam surah arra’ad ayat 11

) إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ (

Bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Sahabat dan sahabiah yang dikasihi sekalian,
Usaha dan kejayaan adalah 2perkara yang seiringan, jika inginkan kejayaan perlulah berusaha kerana kejayaan tidak datang bergolek atau terbang melayang yang semudahnya kita tangkap dan dakap tanpa usaha dan disiplin yang tersusun.

Di atas kesedaran inilah, Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah Sesi 2011/2012 melalui Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM mengambil inisiatif untuk meneruskan program Motivasi Insan Cemerlang Siri kedua bagi memaksimumkan kejayaan di kalangan sahabat dan sahabiah sekalian. Program-program yang diatur tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melipatgandakan kesedaran terhadap pentingnya kejayaan untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian lebih-lebih lagi sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke tanah air secepat yang mungkin serta menabur bakti untuk nusa dan bangsa.
Kami selaku penganjur program begitu optimis untuk mencapai objektif yang digariskan dalam program ini, iaitu:
1 Mewujudkan insan yang berdisiplin dari sudut ilmu dan bersungguh-sungguh dalam mengejar kejayaan berpaksikan Syariat Islam.
2 Membentuk mahasiswa/wi yang cintakan kejayaan di dunia dan di akhirat.
3 Memberi pendedahan tentang kepentingan usaha sebagai satu wasilah untuk memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.
4 Menyemai dan mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa/wi.

Sahabat sahabiah sekalian,
Semoga dengan pendedahan yang kalian dapat dalam program kali ini, dapat membangkitkan semangat kalian dan terus menuju kejayaan yang sedang menanti kalian. Kejar dan rebutlah ia sebelum ia lari meninggalkan kita dengan penuh kehampaan. Semoga usaha ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. dan diberi ganjaran yang besar di akhirat kelak. 
Sekian,
Selamat bermotivasi,
. والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

No comments:

Post a Comment

Semoga komentar kalian memberi manfaat buat Aljauhary..