Wednesday, December 28, 2011

Seminggu sebelum imtihan

Alhamdulillah hari ini 3kitab dah selesai.. Bermula dengan Tauhid (2syariah) jam 7.30pagi hingga 9.30pagi kemudian Khitobah (2usul) jam 9.45pagi hingga 11.45t/hari dan Usul fiqh (4lughah) jam 2.00petang hingga 4.15petang... 
 
Tauhid (3tafsir & hadis) menunggu utk diselesaikan esok.. Dakhil (3tafsir) pula belom pasti lagi bila akan habis... Madah sendiri 3manahij (muhaddisin | mufassirin | dakwah), falsafah zaman pertengahan, Sosiologi dan Usul Fiqh masih dalam proses utk selesai membaca semuanya.. Setakat ini semuanya masih dalam kawalan. Tiada apa-apa masalah besar setkat ini. semuanya berjaln lancar. Waktu study group bermula jam 7mlm hingga 10mlm. 

Moga dipermudahkan semuanya.. Dan dapat menjana semangat utk menghadapi imtihan..

Wednesday, December 21, 2011

Sekitar program motivasi


PROGRAM MOTIVASI INSAN CEMERLANG SIRI II 

DPJA,17 Disember 2011 bersamaan 22 Muharam 1433H- Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM 2011/2012 sekali lagi telah  berjaya mengadakan Program Motivasi Insan Cemerlang Siri II  dengan jayanya.

Program yang dihadiri hampir 100 orang ahli ini dimulai dengan ucapan pembukaan oleh pengerusi majlis Saudari Zhuliana Ambok Dalik  diikuti  dengan alunan ayat-ayat suci al-quran oleh Saudara Abdul Hashim bin  Abdul Aziz. Seterusnya ucapan pengarah program, Saudara Mohd Ihsan bin Md. Halid. 



Di dalam ucapannya, beliau telah menyentuh tentang objektif program motivasi insan cemerlang siri ll iaitu :
1. Mewujudkan insan yang berdisiplin dari sudut ilmu dan bersungguh-sungguh dalam mengejar kejayaan berpaksikan Syariat Islam.
2. Membentuk mahasiswa/wi yang cintakan kejayaan di dunia dan di akhirat.
3. Memberi pendedahan tentang kepentingan usaha sebagai satu wasilah untuk memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.
4. Menyemai dan mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa/wi.

Pada jam 8.25 pagi pula, Program Motivasi Insan Cemerlang Siri II telah dirasmikan oleh Saudara Muhammad Izzat bin Abdul Hadi selaku timbalan  pengerusi 1, DPMM 2011/2012.

 
Majlis diteruskan lagi dengan slot forum yang telah menampilkan  4 ahli panel yang hebat  mewakili setiap fakulti. Antara ahli panel tersebut ialah Saudara Firdaus bin Cheek mewakili fakulti Usuluddin. Saudara Muhammad Naim bin Salleh mewakili  fakulti Lughah arabiah. Saudari Syazwana binti Ismail mewakili fakulti Syariah Islamiyah. Manakala Saudari Nor Latifah binti Othman mewakili fakulti Qiraat.


 
Pelbagai input menarik telah disampaikan oleh keempat-empat ahli panel antaranya ialah bagaimana teknik menjawab soalan dengan baik, teknik skor pemarkahan, persediaaan dari sudut rohani, kepentingan taqwa dalam mencari nusrah Allah taala dan merungkai permasalahan yang sering menimpa mahasiswa tatkala berhadapan dengan kertas soalan. 

 

Kemantapan moderator mengendalikan majlis dan ahli panel menyampaikan kalam, membuatkan peserta tidak rasa jemu dan masa 2 jam yang diperuntukan untuk forum dirasakan terlalu cepat kerana input yang disampaikan sangat-sangat berguna dan perasaan inginkan penjelasan dari ahli panel membuak-buak. Forum itu diakhiri dengan sesi soal jawab yang menggamatkan suasana forum dan membuatkan peserta tidak kering gusi dangan usikan moderator kepada ahli panel



Sekitar jam 11.10 pagi, majlis telah dihidangkan dengan alunan nasyid yang segar dan bertenaga dari Usrah Soutul Wehdah yang terdiri daripada mahasiswa mansurah bertemakan ilmu. Kelunakkan, kemerduan dan keharmonian suara dari Usrah Soutul Wehdah membuatkan peserta terpegun dan teruja dengan persembahan tersebut kerana ahli DPMM sudah lama tidak dihiburkan dengan persembahan secara langsung oleh mahasiswa Mansurah sendiri.

Program Motivasi Insan Cemerlang Siri II  kali ini berakhir dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Saudara Usman al-Amani bin Azlan selaku ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM(UPEP)2011/2012 dalam bahasa arab.



 
Pihak program mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan ahli yang hadir bagi menjayakan Program Motivasi Insan Cemerlang Siri ll. Semoga program ini dapat memberikan impak yang positif kepada semua ahli dalam membentuk individu yang cemerlang dunia dan akhirat. Dan semoga ahli dapat memaksimumkan kejayaan serta melipatgandakan kesedaran terhadap pentingnya kejayaan untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian lebih-lebih lagi sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke tanah air secepat yang mungkin serta menabur bakti untuk nusa dan bangsa.
 

“ILMU DIWARISI, ULAMA DITELADANI, ULAMA PEWARIS NABI”


Disediakan oleh :


Setiausaha Program Motivasi Insan Cemerlang Siri II.

Saturday, December 17, 2011

Ucapan Pengarah Program Motivasi Insan Cemerlang II


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذى أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا, ويجعل على كل شيء سببا,
 والصلاة والسلام على من أرسله ربه للعالمين بشيرا ونزيرا بين يدي الحساب, وعلى آله وأحبابه والأصحاب...
وبعد...
. السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Yang dihormati,
Saudari pengerusi majlis, Ustazah .

Yang berbahagia,
Timbalan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa/Wi Mansurah Sesi 2011/2012,
Saudara  Muhammad Izzat Bin Abdul Hadi selaku perasmi program,

Yang berbahagia
Naib Pengerusi 1 Hewi DPMM,
Saudari Wan Liza bte Mohd Rethuan.

Yang berusaha,
Ketua unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM,
Ustaz Usman Al-Amani bin Azlan,
barisan AJKT dan AJKH DPMM,
barisan Ad-hoc pelaksana program.

Yang diraikan,
Sahabat sahabiah yang dirahmati Allah SWT.

. السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kehadrat ilahi kerana dengan taufiq, inayah dan nikmat kurniaanNYA dapat kita bertemu kembali dalam program motivasi insan cemerlang  siri kedua kesinambungan dari siri pertama yang lalu dan yang terakhir untuk semester ini. Dan pembawakkan kali ini akan menekankan konsep usaha dalam mengapai kejayaan bertemakan “ilmu diwarisi, ulama diteladani, ulama’ pewaris nabi”.

Firman Allah SWT dalam surah arra’ad ayat 11

) إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ (

Bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Sahabat dan sahabiah yang dikasihi sekalian,
Usaha dan kejayaan adalah 2perkara yang seiringan, jika inginkan kejayaan perlulah berusaha kerana kejayaan tidak datang bergolek atau terbang melayang yang semudahnya kita tangkap dan dakap tanpa usaha dan disiplin yang tersusun.

Di atas kesedaran inilah, Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah Sesi 2011/2012 melalui Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM mengambil inisiatif untuk meneruskan program Motivasi Insan Cemerlang Siri kedua bagi memaksimumkan kejayaan di kalangan sahabat dan sahabiah sekalian. Program-program yang diatur tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melipatgandakan kesedaran terhadap pentingnya kejayaan untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian lebih-lebih lagi sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke tanah air secepat yang mungkin serta menabur bakti untuk nusa dan bangsa.
Kami selaku penganjur program begitu optimis untuk mencapai objektif yang digariskan dalam program ini, iaitu:
1 Mewujudkan insan yang berdisiplin dari sudut ilmu dan bersungguh-sungguh dalam mengejar kejayaan berpaksikan Syariat Islam.
2 Membentuk mahasiswa/wi yang cintakan kejayaan di dunia dan di akhirat.
3 Memberi pendedahan tentang kepentingan usaha sebagai satu wasilah untuk memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.
4 Menyemai dan mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa/wi.

Sahabat sahabiah sekalian,
Semoga dengan pendedahan yang kalian dapat dalam program kali ini, dapat membangkitkan semangat kalian dan terus menuju kejayaan yang sedang menanti kalian. Kejar dan rebutlah ia sebelum ia lari meninggalkan kita dengan penuh kehampaan. Semoga usaha ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. dan diberi ganjaran yang besar di akhirat kelak. 
Sekian,
Selamat bermotivasi,
. والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Thursday, October 27, 2011

UCAPAN PENGARAH






بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذى أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا, ويجعل على كل شيء سببا,
 والصلاة والسلام على من أرسله ربه للعالمين بشيرا ونزيرا بين يدي الحساب, وعلى آله وأحبابه والأصحاب...
وبعد...
. السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Yang dihormati,
Pengerusi majlis..

Yang berbahagia,
Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa/Wi Mansurah Sesi 2011/2012,
Saudara  Muhammad Aliffudin Bin Ramlee selaku perasmi program,

Yang berbahagia
Naib Pengerusi 1 Hewi DPMM,
saudari Wan Liza bt Mohd Rethuan.

Yang berbahagia
Ketua unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM,

Yang berbahagia
barisan AJKT dan AJKH DPMM,

Yang berusaha,
barisan Ad-hoc pelaksana program.

Yang diraikan,
hadirin-hadirat warga intelek yang dirahmati Allah SWT.

Alhamdulillah, seinfiniti pujian dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala nikmat kurniaanNYA dapat juga kita bertemu dalam program motivasi insan cemerlang siri pertama bertemakan “ilmu diwarisi, ulama diteladani, ulama’ pewaris nabi” sebagai wadah pencetus inspirasi mahasiswa/wi di mansurah ini.
Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 122:

)وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُون(

Bermaksud : “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”


Mahasiswa/wi harapan sekalian,
Menjadi satu tuntutan kepada Umat Islam untuk pergi berperang di Jalan Allah. Namun perlu ada sebahagian di kalangan mereka satu golongan yang keluar untuk memperdalamkan ilmu pengetahuan tentang Agama Islam. Kemudian kembali kepada kaum mereka untuk memberi peringatan kepada kaum mereka tentang ayat-ayat Allah S.W.T. dan sunnah rasulNya agar kaum mereka dapat menjaga diri dan berwaspada mengikut landasan Islam. Dan golongan yang disebutkan di dalam surah at-Taubah ayat 122 itu tadi tidak lain dan tidak bukan adalah kita selaku mahasiswa/wi di mansurah ini.

Di atas kesedaran itulah, Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah Sesi 2011/2012 melalui Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Motivasi Insan Cemerlang Siri Pertama bagi membangunkan modal insan yang sedia ada serta memberi suntikan semangat kepada mahasiswa/wi agar kembali bersemangat menghadiri kuliah juga bersemangat menyelongkar ruang-ruang ilmu bagi memahami, mendalami dan mentafsirkan khazanah ilmu tingalan ulama.
Kami selaku penganjur program begitu optimis untuk mencapai objektif yang digariskan dalam program ini, iaitu:

1 Mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berpaksikan Syariat Islam.
2 Membentuk mahasiswa/wi yang bersikap progresif, proaktif, berdaya saing  dan mempunyai nilai syakhsiah yang tinggi.
3 Memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu sebagai satu wasilah untuk sampai ke darjat taqwa di sisi Allah S.W.T.
4 Menyemai dan mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa/wi.

Mahasiswa/wi harapan sekalian,
Semoga dengan usaha yang sekecil ini dapat memberi impak yang bermakna dalam diri setiap mahasiswa/wi di sini serta mampu membantu dan mendorong ahli untuk lebih bersemangat serta memahami misi dan visi kehadiran antum ke bumi barakah ini. Semoga usaha ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. dan diberi ganjaran yang besar di akhirat kelak. 
Sekian,
Selamat bermotivasi,
Selamat menjadi pewaris nabi.

سيروا على بركات الله...
.والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Sunday, October 23, 2011

NALURI KERINDUAN

Mentari masih malu-malu menampakkan diri. Namun ayam dah itik bersahutan di sutuh menyanyikan irama keriangan menyambut mentari di kala cahaya memenuhi ruang alam. Sejuk masih menyelubungi setiap ruang yang ada, menerjah halus mencari roma yang terdedah walau sesaat cuma. Kesejukkan mula menyambar kulit dan mencengkam hingga ke tulang. Namun wajah masih berbekas dengan sisa-sisa wudu' sesusai solat subuh zikir dan tafakkur. Lihaf disusun kemas di penjuru katil setelah berkhidmat untuk tuannya dari tengah malam hingga ke pagi.


Botol-botol kasih bergelimpangan di atas katil yang masih bersisa air-air rindu yang memabukkan. Setiap malam ianya menjadi teman di kala bersendirian. Dengan aromanya yang membangkitkan kesyahduan malah airnya amat memabukkan. Setiap titisan rindu itu amat-amat berharga untuk dikecapi. Walau memabukkan tidak sesekali putus dari terus diteguk dan dihirup hingga titisan terakhir.



Jendela dikuak, angin dan cahaya meluru masuk tanpa dipanggil namun mentari masih malu menampakkan diri. Debu pula tanpa malu masuk memenuhi. Tanpa sedar telah penuh menghuni. Namun ianya lebih mulia dari diri ini.


Kini dapur menjadi destinasi, air sungai nil yang berlari ribuan kilometer kini memenuhi pili. Mencurah-curah bila dibuka pili. Air ditadah dan dijerang di atas api. Membakar dan memanaskan air yang membeku. Secangkir kopi panas menjadi pembakar semangat setelah melalui malam dalam keadaan mabuk rindu. Bersama sekeping fatirah sebagai menambah keazaman.


Ketukan demi ketukan di kekunci laptop menjadi irama pagi. Walau tidak semeriah keriangan ayam, namun cukup memecah sunyi. Tatkala ini, insan yang menghabiskan malam dengan pelbagai aktiviti memilih pagi sebagai taman yang indah untuk menikmati lena hingga tengahhari. Walau beberapa hari lalu di tripoli gempar dengan terbunuhnya gadaffi, namun begitu tenang suasana pagi ini.


Hari ini menambahkan lagi detik waktu dan tempoh berjauhan. Izzah yang ditinggalkan dulu hanya pandai berguling namun kini sudah pandai berlari dan telah pandai memanjat. Jika hari itu hanya minum susu namun kini sudah pandai guna sudu dan garfu. Setiap hari rasa rindu semakin mencurah-curah. Lantas ku tadah dengan botol-botol kasih itu. Kerana malam nanti akan ku hirup rindu itu walau ku tahu ianya bakal memabukkan.


Perkataan demi perkataan terpapar kemas di skrin, menterjemahkan apa yang terbuku sekian lama di naluri.
Seorang ayah yang amat-amat merindui seorang anak juga seorang isteri jauh di ibu pertiwi.


~bersambung~



Tuesday, October 18, 2011

DAH DAPAT VISA

Assalamualaikum...
Alhamdulillah urusan visa selesai. 
Dan visa tersebut sah laku hingga 31 Dis 2011. 
Selepas pada tarikh tersebut maka terpaksa la buat pembaharuan lain..



Bukan senang nak dapat visa ni. 
Hantar borang pada 20.07.2011 dan setelah beberapa kali datang untuk membuat urusan, 
Alhamdulillah semuanya selesai...


Tuesday, October 4, 2011

PENCERAHAN TERHADAP ISU HUDUD



Assalamualaikum wbt….
Salam sejahtera dan jutaan terima kasih diucapkan kepada tetamu-tetamu yang sudi hadir ke blog aljauhary ini yang telah lama tidak dikemaskini. Jutaan kemaafan dipohon sekiranya ada kesilapan yang sengaja atau tidak disengajakan.

Mutaakhir ini, Malaysia dikejutkan dengan isu besar iaitu perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan. Pelbagai pihak mula mengeluarkan pendapat melalui sedikit kefaham, berbahas, mengkritik, menempelak, menyindir dan membuat tuduhan terhadap isu Hudud ini.

Ramai yang masih kurang faham, salah faham dan ada juga yang tidak faham langsung dengan isu Hudud ini namun terus-terusan mengeluarkan pendapat tentang isu ini. Antara salah faham yang sering bersarang di minda masyarakat saat ini adalah seperti berikut :

  1. Menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis islam.
  2. Melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari Sistem Jenayah Syariah Islam secara keseluruhan.
  3. Perlembagaan Malaysia menghalang adanya dwisistem dalam kesalahan jenayah di Malaysia. 
  4. Konsep Membanteras Jenayah Dalam Islam.

Sebelum aljauhary membahaskan dengan panjang lebar, terlebih dahulu ingin aljauhary memohon maaf sekiranya ada kesalahan fakta yang akan aljauhary sebut nanti, mohon dibetulkan dan datangkan hujjah yang jelas terhadap  fakta tersebut. Aljauhary tidak meminta untuk semua pembaca agar mempercayai atau menerima semua yang aljauhary bentangkan nanti namun apalah kiranya jika anda semua sudi membuka minda dalam membahaskan isu ini dengan lebih ilmiah tanpa menghukum sesuatu dengan tidak berpaksikan hujjah yang jelas.

Marilah sama-sama kita membuka minda yang kritis dan secara ilmiah dalam membasah isu yang rumit ini.

  1. Menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam.

Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT.  Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajipan Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.

Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah. 

Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang.  Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.

Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam?. Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.

  1. Melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari Sistem Jenayah Syariah Islam secara keseluruhan.

Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan.  Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.

Ramai yang menganggap bahawa Hudud adalah sistem tunggal yang tidak ada kaitan dengan Kanun Jenayah yang lain. Sedangkan Hudud sebenarnya adalah subseksyen dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah seperti yang telah dipaparkan dalam laman web e-syariah yang mana tercatat bahawa Hudud dan qisas juga takzir terkandung dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Ini menjelaskan bahawa skop Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah lebih luas berbanding Hudud yang menjadi salah faham mereka yang melihat hukum Hudud dalam bentuk yang juz’i. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak akan lengkap tanpa Hudud, Qisas atau Takzir. Semua ini saling melengkapi kesemuanya. Dan asas kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah adalah untuk mempertahankan maqasid syariah.

Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan Hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.

Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.

Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa. 

Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt).  Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.

Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf.  Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.

Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku. 

Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."

Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.

Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.

Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah.  Kebanyakan mereka yang menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik.  Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat dilaksanakan.

Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.

Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya.  Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur.  Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.

Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat.  Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara' seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa  hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.

Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam.


  1. Perlembagaan Malaysia menghalang adanya dwisistem dalam kesalahan jenayah di Malaysia.

Majlis peguam menimbulkan bahawa undang-undang Hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini buat masa sekarang ekoran kekangan peruntukan perundangan. Wakilnya menyebut bahawa Pelaksanaannya akan menyebabkan undang-undang yang berbeza untuk orang Islam dan bukan Islam dan ini bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukan kesamarataan untuk semua rakyat.

Permasalahan ini dijawab oleh Prof. Aziz Bari melalui kenyataan berikut :


KUALA LUMPUR, 25 Sept – Kerajaan pusat wajar membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum Hudud dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan selain memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan kerangka perundangan semasa membenarkan keadaan itu, kata pakar perlembagaan.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Putrajaya perlu membantu dengan memansuh Akta Mahkamah Syariah yang “mengikat tangan Mahkamah Syariah.”

“Pusat juga perlu membantu dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan dengan memberi pengecualian untuk Kelantan.

“Selain itu, pusat juga perlu membantu dengan membenarkan polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan yang berada di bawah tangan mereka untuk melaksanakan tugas di sisi undang-undang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum Hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.
Najib berkata undang-undang berasaskan hukum Hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ia boleh dibuat tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Kalau MCA dan Gerakan tak mahu sokong tak apa,” katanya sambil menambah, sebenarnya apa yang Kelantan mencadangkan itu tidak memberi kesan kepada bukan Islam.”

“Contohnya sekarang, kalau orang Islam berzina dengan bukan Islam, orang bukan Islam tidak didakwa. Orang Islam tak boleh cabar Hudud kerana di bawah Perlembagaan hak sama rata tidak terpakai dalam konteks undang-undang peribadi.

“Contohnya, sekarang perempuan Islam tak boleh cabar undang-undang poligami atau kuasa cerai suami atas alasan mereka didiskriminasi. Orang Islam kena faham Malaysia ada dua sistem undang-undang; jadi tak timbul tuntutan layanan sama rata,” kata beliau lagi.

Oleh itu kata beliau, “kesimpulannya cadangan Hudud Kelantan itu boleh dilaksanakan dalam kerangka yang sedia ada.”

“Perlembagaan membenarkan cadangan itu. Kalau Karpal Singh tak setuju itu hak dia tapi dia kena sedar pendapat dia tidak mutlak. Satu lagi kesimpulan ialah faktor kritikal ialah kejujuran dan kemahuan politik,” katanya lagi.

Aziz berkata, apa pun yang Kelantan hendak ialah hak negeri melaksanakan Hudud dan persekutuan perlu memberi kerjasama tetapi ini sukar berlaku kalau dilihat dari sudut isu royalti minyak.

“Hudud ini sebenarnya mempertingkat undang-undang jenayah syariah yang sedia ada. Kesalahannya, contohnya zina, sudah mengikut Islam. Apa yang perlu dipinda ialah hukuman,” katanya lagi.

Mengenai langkah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mendapatkan pandangan bukan Islam, Aziz berkata, sebenarnya tidak perlu mendapatkan pandangan mereka mengenai pendirian mereka.

“Kita kena faham tentang sifat sistem perundangan di Malaysia. Kita sudah pun ada sistem perundangan syariah yang berfungsi seiring dengan sistem konvensional,” katanya.

“Ia dalam lingkungan sistem Islam yang keluarga Islam beroperasi. Pada masa yang sama, kita ada sistem jenayah Islam,” kata Aziz.

Jelas beliau, jika hukum Hudud dilaksanakan ia akan dilakukan dalam struktur tersebut manakala bukan Islam akan terus tertakluk kepada undang-undang jenayah semasa, yang peruntukannya diturunkan dalam Kanun Keseksaaan dan Kanun Prosedur Jenayah.

“Apa yang kita perlu lakukan ialah mengkaji semula sistem jenayah Islam semasa dan meminda peruntukan-peruntukan yang tidak selari dengan perundangan Islam,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, Nik Aziz kelihatan memberi respons kepada beberapa pemimpin bukan Islam, dari MCA dan Gerakan serta DAP yang berpandangan bahawa ia akan menggantikan undang-undang jenayah semasa.

“Sebenarnya ia bukan isu. Sementara Nik Aziz faham undang-undang Hudud, saya tidak pasti sama ada beliau faham sepenuhnya sistem perundangan.
“Nampaknya Nik Aziz berpandangan bahawa sistem semasa tidak islamik secara keseluruhan,” katanya lagi.


KUALA LUMPUR, 1 Okt — Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Majlis Peguam ketinggalan kerana melihat pelaksanaan hukum Hudud dalam kerangka lama dan terus menganggap ia sebagai “retorik politik” semata-mata. 

Sebaliknya kata beliau, masih ada ruang untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan dan oleh kerana negara pernah meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung imuniti raja-raja, maka tak mustahil sistem itu boleh digubal dan diperkenalkan. 

“Wacana Hudud adalah perkembangan sihat yang membuka minda kita, termasuk pengamal undang-undang. Kali ini umpamanya kita cuba melihat pelaksanaan di peringkat negeri; dalam kerangka jenayah syariah. Bukan dalam kerangka undang-undang jenayah konvensional di peringkat nasional. 

“Ini merangsang minda; Majlis Peguam masih ketinggalan kerana melihat pelaksanaan itu dalam kerangka lama. Sebab itu, mereka kata ini retorik politik,” kata beliau mengulas pendirian Majlis Peguam semalam. 

Majlis Peguam menegaskan undang-undang Hudud, yang kembali muncul sebagai isu kontroversi awal minggu lalu, tidak boleh dilaksanakan di negara ini buat masa sekarang ekoran kekangan peruntukan perundangan. 

Presiden Majlis Peguam Lim Chhe Wee berkata, Perlembagaan Persekutuan dan rangka kerja perundangan negara ini tidak menyediakan peruntukan bagi undang-undang Hudud dikuatkuasakan oleh mana-mana negeri termasuk Kelantan. 

“Majlis Peguam Malaysia menggesa agar kesemua pihak mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan berhenti daripada bercakap mengenai retorik pelaksanaan hukum Hudud,” kata Lim dalam satu kenyataan petang ini. 

Lim berkata retorik mengenai pelaksanaan undang-undang itu, yang menjadi fokus polemik sejak kebelakangan ini, mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat. 

Malah semalam, Aziz berkata, banyak pihak termasuk pemimpin PAS dan DAP sendiri terkeliru bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan hukum Hudud dilaksanakan. 

Menurut Aziz, beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukum Hudud. 

Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, adalah sesuatu janggal kerana Majlis Peguam tidak memberikan prinsip federalisme satu pertimbangan dalam kenyataannya berkaitan dengan isu hukum Hudud. 

“Prinsip (federalisme) adalah penting dalam membebaskan sistem (perundangan),” katanya lagi. Sehubungan itu kata beliau, “Apabila Perlembagaan membisu ataupun ada konflik seperti ini, maka undang-undang akan memberi laluan kepada negeri.” “Kedua-dua undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah telah dimasukkan dalam senarai negeri, oleh itu persoalan besar adalah berkaitan dengan Akta Mahkamah Syariah 1965, yang mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah,” katanya lagi. 

Kata Aziz, “sebagaimana saya katakan banyak kali ada negara di dunia yang menguatkuasakan sistem dan undang-undang yang pelbagai.” “Dalam kes Hudud, adalah sangat jelas bahawa ia hanya untuk Muslim dan Mahkamah Syariah... Majlis Peguam sendiri telah banyak kali mengatakan bahawa ia hanya bagi Muslim,” kata beliau lagi. 

Oleh itu kata beliau, apa yang diperkatakan sekarang bukan retorik tetapi satu usaha untuk membenarkan masyarakat Muslim hidup di bawah sistem perundangan mereka. 

“Bagi bukan Islam, mereka tiada perundangan mereka sendiri seperti Muslim, jadi mereka boleh hidup di bawah undang-undang sivil negara ini,” katanya lagi. 

Aziz juga berkata, mandat politik akan membolehkan sesuatu yang difikir sebagai mustahil untuk diperkenal dan dilaksanakan menjadi kenyataan dalam jangka panjang. 

“Ingat (peristiwa) 1993? Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan imuniti raja-raja difikir mustahil untuk dilaksana. Apatah lagi apabila hendak mengadakan satu mahkamah untuk membicarakan mereka. 

“Tetapi perkara yang dianggap sebagai mustahil berlaku meskipun raja-raja ada kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menghalangnya. Mereka melakukan di sebalik sentimen popular,” kata Aziz. 

Oleh itu kata beliau, jika Kelantan boleh memperlihatkan kali ini ia pastinya akan berlaku memandangkan Hudud hanya bagi Muslim dan “sesuatu yang tidak terhalang dengan jelas di bawah Perlembagaan.”

 
Inilah sebenarnya yang cuba dijelaskan dan diperjuangkan dikelantan iaitu menjadikan Hudud dan Qisas sebagai hukuman terhadap pesalah-pesalah Hudud dan Qisas dan ianya amat jelas seperti kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan dalam kenyatan akhbar seperti berikut :

Kelantan serap enakmen Hudud dalam hukuman syariah

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Ekoran sekatan hampir dua dekad, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata mahu memasukkan enakmen Hudud dalam hukuman syariah negeri Kelantan untuk diguna pakai oleh Mahkamah Syariah.

Oleh itu kata Nik Aziz, PAS berusaha untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hudud dan Qisas) dimasukkan dalam senarai hukum Mahkamah Syariah supaya hakim dapat menggunakannya ketika perbicaraan.

“Usaha kami ialah nak masukkan enakmen Hudud dalam senarai hukum Mahkamah Syariah di Kelantan, maknanya kami orang politik berusaha untuk itu supaya ia dapat digunakan oleh hakim,” kata Nik Aziz.

Kata Nik Aziz lagi, “saya ulang sekali lagi, kami hanya nak masukkan enakmen Hudud dalam senarai hukum supaya mahkamah akan menggunakan akta ini.”

Jelas beliau, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim akan menentukan ada prima facie atau sebaliknya.

“Kalau ada prima facie, ada peguam bela dan peguam cara. Daripada Malaysia menerima hukuman gantung sampai mati mandatori (dalam kes) dadah (atau) senjata apa, maka lebih baik terima Hudud.

“Gantung sampai mati ini menyebabkan keluarga merana, tak ada tempat nak bergantung, merana hidup dalam keadaan lapar, Hudud ini tak mati orang, bila kena Hudud tak mati manusia,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Pada 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Bagaimanapun sehingga kini ia tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Percanggahan ini dapat dilihat bila Mahkamah Syariah terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walaupun telah dipinda pada tahun 1984.

Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan mengenai bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah, terkenal dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984. Pindaan ini telah memberi kuasa yang lebih kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun atau apa-apa denda sehingga RM 5000 atau sebat enam rotan atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut. Akta ini adalah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memperuntukkan hukuman apa-apa kesalahan boleh dihukum dengan penjara untuk satu tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1000 atau kedua-duanya.
Pada tahun 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan terhadap perlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704) Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan: "Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".
Dengan pindaan ini, kewujudan dan kewibawaan Mahkamah Syariah telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang mutlak unluk memutus dan menyelesaikan kes-kes atau apa-apa perkara yang terletak di bawah bidangkuasanya. Ini bermakna Mahkamah Sivil tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, sedangkan sebelum ini Mahkamah Sivil juga mempunyai bidangkuasa yang sama, di dalam beberapa kes dan Mahkamah Sivil boleh membicarakannya dan jika terdapat percanggahan maka keputusan Mahkamah Sivil adalah muktamad. Kesan pindaan ini telah diperkukuh lagi oleh keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Mohd. Habibullah bin Mahmood lawan Faridah bt. Datoi Talib pada 15 Disember, 1992 yang menegaskan "execlusive jurisdication" Mahkamah Syariah.
Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia untuk memberikan kuasa tahan kepada Hakim Mahkamah Syariah seperti yang diberikan kepada seorang Majistret terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988, Perkara 5(4) Persekutuan. Dengan pindaan ini bererti Hakim Mahkamah Syariah telah diberi kuasa seperti seorang Majistret di dalam perkara kuasa tahan diri.
Untuk merealisasikan kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana dalam peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu, Kanun Tanah Negara (National Land Code) telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru iaitu seksyen 421A melalui Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1991. Pindaan tersebut telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 1 Januari, 1993. Seksyen 421A berbunyi "Untuk maksud seksyen 417 dan 420 "Mahkamah" termasuk Mahkamah Syariah".
Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM, untuk mempertingkatkan pelaksanaan Undang-undang Islam, memperluaskan bidangkuasa mahkamah Syariah dan menyelaras undang-undang sivil agar sesuai dengan Hukum Syarak.


Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) perlu dimansuhkan kerana ianya “mengikat tangan Mahkamah Syariah.” Berilah Mahkamah Syariah ruang dan kuasa yang sepenuhnya dalam menghukum penjenayah syariah mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang menjadi perlembagaan asas untuk umat Islam dalam menjaga agama, nyawa, harta, maruah, akal dan keturunan seluruh umat islam. Tidak akan timbul seseorang Islam itu akan terdedah kepada dua pendakwaan atau sabitan berasingan: satu di bawah Hudud dan satu di bawah kanun keseksaan, bertentangan dengan larangan terhadap perbicaraan berulang dalam Perkara 7 (2) perlembagaan persekutuan kerana Mahkamah Syariah punya kuasa penuh terhadap jenayah syariah yang dilakukan oleh seseorang islam seperti yang tertakluk di dalam Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan: "Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".

Jika Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa jenayah) 1965 pernah dipinda, malahan Kerajaan Persekutuan pernah meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung imuniti raja-raja 1993 yang difikir mustahil untuk dilaksana dapat dilaksana meskipun raja-raja ada kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menghalangnya namun Kerajaan Persekutuan telah melakukannya di sebalik sentimen popular. Jadi, mengapa Kerajaan Persekutuan dilihat tidak mampu melepaskan Kelantan untuk menjalankan Hukuman Jenayah Syariah di negeri mereka dan ianya hanya untuk orang islam sahaja????

4.      Konsep Membanteras Jenayah Dalam Islam

 

Dr Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia


Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus.  Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa.  Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.

Jenayah Hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam.  Hukuman Hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah.  Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.

Jenis-jenis kesalahan Hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori.  Pendakwaan kes-kes Hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya.  Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat.  Fungsi hukuman Hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Takzir ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu. Hukuman yang dikenakan tidak bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah, melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tersebut.
Pendakwaan bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional. Ia juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan takzir dengan Hudud ialah hukuman Hudud sudah ditentukan bagi kesalahan berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.
Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera. Dari segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu adalah lebih besar dalam hal ini.
Oleh itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Kerana itu kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak kepada pendakwa awam atau masyarakat.
Manakala bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan daman. Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah disabitkan. Jika kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau pampasan.
Kesalahan qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat. Kerana itu ia lebih sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.
Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.
Dari segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama.
Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat. Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.
Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.
Sistem perundangan jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh. Bagi yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa yang mati dibunuh.
Manakala bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma. Elemen pampasan ini sudah tentulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan jenayah berkenaan. Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.
Undang-undang Hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman Hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes Hudud.

Penutup...
Marilah sama-sama kita memahami apa itu Hudud dan menghadamkan setiap maklumat tersebut di dalam minda dan hati kita agar mudah untuk menjelaskan kepada sahabat-sahabat yang salah faham terhadap Hudud. Sama-samalah kita menyokong agar Hudud dapat dilaksanakan di Negeri Kelantan untuk peringkat permulaan dan bakal diikuti oleh negeri-negeri lain sekiranya hikmah Hudud tersingkap dan menusuk ke dalam hati orang-orang Islam dan juga bukan Islam. Jutaan kemaafan sekiranya tulisan ini terlalu panjang dan mengambil masa yang lama untuk dibaca serta terdapat kekeliruan. Apa yang baik itu datang dari Allah swt. Dan yang buruk itu datang dari kelemahan diri aljauhary sendiri.

Assalamualaikum wbt....