Sunday, October 23, 2011

NALURI KERINDUAN

Mentari masih malu-malu menampakkan diri. Namun ayam dah itik bersahutan di sutuh menyanyikan irama keriangan menyambut mentari di kala cahaya memenuhi ruang alam. Sejuk masih menyelubungi setiap ruang yang ada, menerjah halus mencari roma yang terdedah walau sesaat cuma. Kesejukkan mula menyambar kulit dan mencengkam hingga ke tulang. Namun wajah masih berbekas dengan sisa-sisa wudu' sesusai solat subuh zikir dan tafakkur. Lihaf disusun kemas di penjuru katil setelah berkhidmat untuk tuannya dari tengah malam hingga ke pagi.


Botol-botol kasih bergelimpangan di atas katil yang masih bersisa air-air rindu yang memabukkan. Setiap malam ianya menjadi teman di kala bersendirian. Dengan aromanya yang membangkitkan kesyahduan malah airnya amat memabukkan. Setiap titisan rindu itu amat-amat berharga untuk dikecapi. Walau memabukkan tidak sesekali putus dari terus diteguk dan dihirup hingga titisan terakhir.



Jendela dikuak, angin dan cahaya meluru masuk tanpa dipanggil namun mentari masih malu menampakkan diri. Debu pula tanpa malu masuk memenuhi. Tanpa sedar telah penuh menghuni. Namun ianya lebih mulia dari diri ini.


Kini dapur menjadi destinasi, air sungai nil yang berlari ribuan kilometer kini memenuhi pili. Mencurah-curah bila dibuka pili. Air ditadah dan dijerang di atas api. Membakar dan memanaskan air yang membeku. Secangkir kopi panas menjadi pembakar semangat setelah melalui malam dalam keadaan mabuk rindu. Bersama sekeping fatirah sebagai menambah keazaman.


Ketukan demi ketukan di kekunci laptop menjadi irama pagi. Walau tidak semeriah keriangan ayam, namun cukup memecah sunyi. Tatkala ini, insan yang menghabiskan malam dengan pelbagai aktiviti memilih pagi sebagai taman yang indah untuk menikmati lena hingga tengahhari. Walau beberapa hari lalu di tripoli gempar dengan terbunuhnya gadaffi, namun begitu tenang suasana pagi ini.


Hari ini menambahkan lagi detik waktu dan tempoh berjauhan. Izzah yang ditinggalkan dulu hanya pandai berguling namun kini sudah pandai berlari dan telah pandai memanjat. Jika hari itu hanya minum susu namun kini sudah pandai guna sudu dan garfu. Setiap hari rasa rindu semakin mencurah-curah. Lantas ku tadah dengan botol-botol kasih itu. Kerana malam nanti akan ku hirup rindu itu walau ku tahu ianya bakal memabukkan.


Perkataan demi perkataan terpapar kemas di skrin, menterjemahkan apa yang terbuku sekian lama di naluri.
Seorang ayah yang amat-amat merindui seorang anak juga seorang isteri jauh di ibu pertiwi.


~bersambung~



2 comments:

Semoga komentar kalian memberi manfaat buat Aljauhary..