Monday, January 2, 2012

Falsafah kehidupan

Assalamualaikum semua..
Salam ceria buat semua yg sudi menziarahi blog picisan ini.

 
Di pagi yang sejuk ini, sesejuk salju di musim sonata ini ditambah dengan hujan yang turun membasahi bumi mansurah yang secara tidak langsung menurunkan suhu yang dicatatkan sekarang berada di suhu 10'C.


Tahun baru sudah menjelma. Imtihan sudah tidak berapa lagi. Bermula 9 Jan 2012 | 12 Jan 2012 | 16 Jan 2012 | 19 Jan 2012 | 23 Jan 2012 | 26 Jan 2012.


Persediaan untuk menghadapi imtihan amat memberangsangkan. Moga terus bersemangat untuk menghadapi detik-detik keemasan itu.

Lama rasanya tidak meluahkan rasa di dada blog ini. Kadang kala pelbagai perkara dan isu sudah semakin sarat menghuni minda dan hati ini. Namun oleh kerana jarang menulis, terasa kaku untuk menukilkan di dada blog ini.


Akhir-akhir ini isu mahasiswa, kezaliman, politik, hiburan islam dan bangsa melayu semakin hangat perkembangannya. Dalam mendepani setiap isu ini, pandangan yang tajam dan penilaian serta pertimbangan dari pelbagai sudut ilmu dan perspektif minda amat menguji. Kadangkala emosi menguasai ilmu dan minda hingga tersilap pertimbangan. Namun dengan hangatnya isu-isu besar itu, menjadikan minda lebih kritis dan diri lebih kenal kezaliman dan tekanan di setiap posisi terhadap mahasiswa khususnya dan rakyat malaysia amnya.


Tahun 2012 sudah berlari ke hari yang ke-2. 2011 meningglkan pelbagai kenangan yang menggamit memori. Suka duka tawa gembira ratapan kesedihan pilu bungkam bersilihganti tanpa dipinta mahupun dihindari. Kesemuanya hadir menghiasi kamus dan diari kehidupan dengan corak yang pelbagai.


Namun diri ini masih terdampar kesepian keseorangan terpisah antara benua, lautan dan iklim dengan anak dan isteri tercinta. Pencarian, menuntut dan buruan ilmu masih lagi belum bertemu penghujungnya di bumi yang bertuah ini. Di sini tercipta pengalaman. Di sini tercipta pengetahuan. Di sini tercipta persahabatan. Di sini pengalaman dapat dicorakkan. Di sini dapat mempelajari kehidupan. Di sini dapat menguatkan hujjah tentang ketuhanan berlandaskan ilmu, akal dan falsafah. Adakah diri ini sesat bila mencari dan mengenal Allah swt menggunakan falsafah? Adakah diri ini bodoh bila mensabitkan Allah swt dengan logik akal? Sesiapa sahaja boleh mentafsirkan mengikut ilmu masing-masing. Perspektif dan persepsi kadangkala tidak dapat dibezakan, apatah lagi untuk mengawalnya. Mana mampu diri ini mengawal perspektif juga persepsi orang lain terhadap sesuatu isu dan ilmu. 

Apa yang mampu hanyalah mengawal emosi, perspektif dan persepsi sendiri dalam mendepani setiap isu yang mendatang. Terima kasih juga atas semua perspektif dan persepsi rakan taulan kerana ianya juga membuka ruang untuk hati menerima ketidaksefahaman dan juga ketidaktahuan terhadap beberapa isu. Hati menerima, akal memproses dan minda mengharmonikan emosi agar setiap yang terjadi masih dalam kawalan psikik. Sosiologi dan psikologi banyak membantu dalam mendepani kehidupan ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mencampakkan diri ini ke lembah falsafah yang subur dengan rasional dan lagika dalam menyusun teori-teori kehidupan untuk diujikaji di kemudian hari nanti.
 
Kitab-kitab sudah melambai-lambai dan memanggil-manggil untuk dibaca dan dikaji kerana peperiksaan kian hampir detik tiba. Falsafah kurun pertengahan, Teori Augustine of Hippo, Teori Bonaventure, Teori Roger Bacon dan Teori Anselm of Canterbury sekian lama memeningkan minda ini kerana masing-masing mencari Allah dengan Akal, Naluri dan Naqal (masihiyyah).
Sehingga kini masih lagi meneruskan pencarian untuk mengharmonikan teori-teori itu dengan minda ini agar faham dan membantu dalam menjawab persoalan yang bakal keluar dalam peperiksaan kali ini.


Sekian dulu buat kali ini, terima kasih sekali lagi sudi membaca.
Wassalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment

Semoga komentar kalian memberi manfaat buat Aljauhary..